Bersatu selepas tragedi

Kejadian tanah runtuh Hulu Langat pertemu ibu, anak berpisah 11 tahun

AMPANG: Di sebalik kesedihan kehilangan sepupu, rakan dan penjaga Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, Sabtu lalu, tragedi tanah runtuh itu rupa-rupanya ada hikmah tersendiri buat Muhd Aizad Qusyhairiry Abd Karim, 13, apabila dapat bertemu ibu kandungnya yang terpisah sejak 11 tahun lalu.

Tanpa diduga, Muhd Aizad Qusyhairiry yang sedang dirawat di wad khas bencana Hospital Ampang di sini, semalam dikejutkan dengan kehadiran ibu kandungnya, Nor Suzana Abdullah, 37. Malah, pelajar Tingkatan Satu itu tidak mengenali wanita terbabit sehingga diberitahu ibu angkatnya, Nor Aida Yaacob, 37.

“Terkejut… tak sangka di hospital ini saya bertemu semula dengan ibu kandung yang berpisah sejak berusia dua tahun. Perasaan memang tak dapat digambarkan. Gembira bercampur sedih dan terharu,” katanya yang patah pergelangan tangan dan retak siku kiri akibat tertimbus dalam runtuhan tanah sehingga paras dada dalam tragedi yang mengorbankan 16 mangsa.

Sejak ibu bapanya berpisah pada 2000, Muhd Aizad Qusyhairiry dan abangnya, Mohd Alif Zafran, 15, dijaga dan dibesarkan oleh Nor Aida yang juga ibu saudara mereka.

Sepanjang tempoh 11 tahun itu, Muhd Aizad Qusyhairiry tidak pernah mendengar khabar berita, apa lagi bersua muka dengan ibu kandungnya, walaupun pelbagai usaha dilakukan keluarga angkatnya untuk mencari Nor Suzana, termasuk melalui akhbar.

Nor Suzana yang tinggal di Jalan Klang Lama bersama suami barunya, pula berkata, ketika berpisah dengan dua anak serta bekas suaminya 11 tahun lalu, beliau sedang mengandung anak perempuan, Aerryssa Fadiana, yang kini berusia 11 tahun dan dalam jagaannya.

“Bukan saya tidak pernah cuba mencari dua anak saya itu. Sudah empat kali saya ke rumah bekas suami di Semenyih untuk berjumpa mereka, tetapi ketika itu tiada sesiapa di rumah,” katanya yang mendapat tahu Muhd Aizad Qusyhairiry terbabit dalam tragedi tanah runtuh itu selepas menonton Buletin Utama TV3. 
Beliau berkata, hatinya berdebar-debar apabila melihat nama Muhd Aizad Qusyhairiry dipaparkan di televisyen antara mangsa terselamat.

“Jauh di sudut hati, saya yakin budak itu anak kandung saya yang berpisah sekian lama. Berikutan itu, saya bulatkan tekad datang ke hospital menemuinya dan melepaskan kerinduan yang terbuku 11 tahun lamanya.

“Saya bersyukur kerana bukan saja dipertemukan semula dengan Muhd Aizad Qusyhairiry, malah lebih penting dia terselamat dalam tragedi itu. Saya berharap selepas ini dapat menjaganya dengan penuh kasih sayang seperti remaja lain,” katanya yang sebak dengan pertemuan tidak disangka itu.

Sementara itu, Muhd Aizad Qusyhairiry ketika menceritakan pengalamannya berdepan saat cemas tanah runtuh itu, berkata beliau tertimbus sehingga paras dada dan dihempap papan hampir dua jam sebelum diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.

“Ketika itu, saya cuma teringatkan ibu (ibu angkat, Nor Aida). Saya hanya mampu memanggil nama ibu. Apa yang berlaku di sekeliling ketika itu saya sendiri tak dapat mengingatinya,” katanya yang kelihatan sihat tetapi masih trauma dengan tragedi berkenaan. 

Dalam tragedi itu, sepupunya, Mohd Riezman Abdul Latif, 9, turut terkorban. Muhd Aizad Qusyhairiry tinggal di asrama madrasah berkenaan sejak empat tahun lalu, manakala abangnya menuntut di sekolah lain di Hulu Langat.


Sumber

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: