Solat Dhuha gamit rezeki

ISLAM memandu umatnya untuk hidup di dunia ini dengan syariat yang serba lengkap meliputi­ keseluruhan aspek penghidupan termasuk dalam usaha mencari sumber rezeki.
Kita sebagai mukmin diminta sentiasa mengekalkan tahap usaha yang gigih dan cekal dalam mengusahakan sesuatu. 
Panjatkan doa kepada Allah supaya dipermudahkan usaha pencarian sumber hidup.

Namun, jangan kita meremehkan pendekatan paling berkesan dan menjadi amalan umat Islam terdahulu untuk melancarkan kurniaan nikmat Allah kepada kita, iaitu mengamalkan solat Dhuha.

Solat Dhuha boleh menjadi senjata paling ampuh yang disediakan Allah buat setiap hamba-Nya menjemput rezeki.
Sebenarnya solat Dhuha adalah petunjuk yang ditinggalkan Rasulullah s.a.w kepada umatnya.

Dikatakan baginda selalu melakukan solat Dhuha ketika berada di rumah mahu pun ketika dalam perjalanan. Malah, solat Dhuha boleh dilakukan di mana saja dan tidak tertakluk di masjid semata-mata.

Solat Dhuha boleh dilaksanakan dalam jumlah antara dua hingga dua belas rakaat.

Ini yang ditunjukkan Rasulullah dalam satu pernyataan baginda yang katanya, “Allah yang Maha Mulia lagi Maha Agung menyatakan “Wahai anak Adam.

Cukuplah Aku dengan melakukan empat rakaat solat Dhuha pada pagi hari, maka Aku pasti mencukupi keperluan mu pada akhir hayatmu.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Ya’la)”

Walaupun tujuan solat Dhuha didirikan adalah untuk memohon kurniaan rezeki, tetapi kita perlu bersihkan diri daripada segala daki dosa dengan bertaubat.

Kata Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Solat Dhuha itu mendatangkan rezeki dan menjauhkan kemiskinan dan tidak ada orang yang memelihara solat kecuali orang yang bertaubat.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Jadi antara solat Dhuha dan taubat seseorang hamba saling berkait rapat. Lantaran itu barulah solat Dhuha boleh menjadi ‘magnet’ yang menarik rezeki kurniaan Allah kepada kita.

Sumber rezeki yang dilimpahi Allah apabila kita mendirikan solat Dhuha itu bukanlah semata-mata dalam bentuk material sebagaimana anggapan sesetengah golongan.

Rezeki kurniaan Allah luas ruang lingkupnya. Mungkin kita dikurniakan nikmat dalam bentuk kedamaian hidup walaupun berpendapatan kecil dan sederhana saja.

Mungkin dengan isteri yang cantik lagi solehah bersama-sama kurniaan anak yang sihat sejahtera juga adalah bentuk rezeki yang Allah berikan kepada kita.

Dalam satu lagi sabda Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa yang mengerjakan solat Dhuha dua rakaat, dia tidak dicatat dalam kelompok orang yang lupa.

Sesiapa yang mengerjakan solat Dhuha empat rakaat, dia dicatat sebagai orang yang kuat beribadah. Sesiapa yang mengerjakan solat Dhuha enam rakaat pada hari itu segala keperluannya dicukupi Allah.

Sesiapa yang menger­jakan solat Dhuha lapan rakaat, Allah memasukkan­nya ke dalam golongan yang tunduk serta menghabiskan seluruh waktunya bagi beribadat.

Sesiapa yang mengerjakan solat Dhuha dua belas rakaat, Allah membangunkan baginya sebuah istana indah dalam syurga.

Tidak ada dalam sehari semalam kecuali Allah pasti memberikan anugerah serta sedekah kepada hamba-Nya.” (Hadis riwayat at-Tabrani dan Abu Daud)
Terbukti bahawa rezeki adalah satu kurniaan Allah melalui mekanisme solat Dhuha.

Ini kerana pengamalnya diberikan pelbagai dimensi rezeki dalam spektrum yang lebih membahagiakan seperti ganjaran pahala di sisi Allah di akhirat kelak selain Allah menjadikan kita sebagai insan soleh.

Rasulullah ada menerang­kan kepada kita bahawa orang yang selalu mengamalkan solat Dhuha selain dimurahkan rezeki dan dilancarkan segala urusan dia juga mendapat layanan cukup istimewa ketika di akhirat nanti.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Dalam syurga, terdapat pintu yang bernama Ad-Dhuha. Apabila hari kiamat tiba, ada seseorang menyeru, “Mana orang yang mendirikan solat Dhuha? Inilah pintu kamu. Masuklah ke dalam syurga dengan iringan rahmat Allah.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Sampai begitu sekali Allah layan hamba-Nya yang beramal dengan solat Dhuha ketika hidupnya di dunia ini. Kita mesti sedar bahawa permohonan supaya dipermudahkan rezeki Allah itu hendaklah disusuli dengan tindakan dan usaha kerja keras.

Solat Dhuha saja kemudian berdoa kepada Allah semata-mata, tidak mengubah apa-apa kepada rezeki. Ini kerana Allah

hanya mengubah nasib seseorang apabila mereka berusaha mengubahnya terlebih dulu.

Hal ini seharusnya diamalkan secara maksimum dan usaha yang termampu. Melalui kombinasi solat Dhuha, sentiasa berdoa dan berusaha gigih, lambat-laun, Allah pasti mencurahkan rezeki yang melimpah ruah kepada kita.

Justeru, bekerjalah kita dengan sekuatnya untuk mencari sumber rezeki yang halal lagi diberkati di samping bertawakal dan seimbangkan dengan amalan solat Dhuha.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: